Operasi Porsche di Malaysia wujudkan pekerjaan berkualiti, teknologi khusus

KUALA LUMPUR, 3 Sept -- Langkah Porsche AG (Porsche) membuka kilang pemasangan di Malaysia, bakal mewujudkan pekerjaan berkualiti serta keupayaan teknologi khusus, sekali gus memperkukuh Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA). Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini berikutan reputasi Porsche sebagai pengeluar kereta berprestasi tinggi yang memerlukan aspek kecanggihan teknologi serta kejuruteraan jitu. Pengeluar automotif Jerman itu dengan kepakaran khusus dalam pembuatan kereta sport, kenderaan utiliti sukan dan sedan berprestasi tinggi itu baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk membuka sebuah kilang pengeluaran di Kedah menerusi kerjasama dengan Sime Darby Bhd. Dalam kenyataan hari ini, Mohamed Azmin berkata walaupun landskap ekonomi global mencabar, Porsche sebaliknya kekal yakin dengan kedudukan Malaysia sebagai gerbang ideal bagi pasaran ASEAN dan menjadikan kilang di Kedah sebagai lokasi kemudahan pemasangan pertamanya di luar Eropah dalam sejarah 70 tahun syarikat tersebut. “Usaha mewujudkan kemudahan pengeluaran di Malaysia itu dilihat sebagai satu keputusan strategi Porsche dan memaparkan komitmennya untuk mewujudkan kedudukan jangka panjang di rantau ASEAN. “Projek ini telah disenaraikan dalam inisiatif pertumbuhan komprehensif yang dilancarkan pada 2018 dan menggambarkan keyakinan Porsche terhadap kedudukan kukuh negara sebagai hab pengeluaran pilihan bagi pengeluar peralatan tulen (OEM) terkemuka global,” katanya. Mohamed Azmin juga menyifatkan pemilihan Malaysia itu sebagai bukti keyakinan Porsche terhadap ekosistem kondusif negara serta kemudahan yang dimilikinya untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat terbabit. “Pada masa sama, ia mengiktiraf keupayaan bakat atau tenaga kerja tempatan yang terdiri daripada barisan jurutera dan juruteknik berkemahiran tinggi. “Kita amat berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran Porsche ke Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), agensinya serta pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus memberi yang terbaik bagi kemudahan usaha mereka di sini,” katanya. Melangkah ke hadapan, Mohamed Azmin berkata kerajaan akan memastikan persekitaran kekal kondusif bagi membolehkan pemimpin industri asing menjalankan perniagaan di Malaysia menerusi insentif fiskal dan bukan fiskal. Malaysia juga akan terus menawarkan pekerja berkemahiran tinggi serta rakan teknologi  yang berwibawa, kata beliau. -- BERNAMA