Dana dan kemudahan pembiayaan melebihi RM600 juta perkasakan pembangunan dan kesejahteraan Bumiputera di Sabah

KOTA KINABALU, SABAH: TERAJU dan Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengumumkan peruntukan melebihi RM600 juta untuk pelbagai program dan inisiatif pembangunan dan pemerkasaan Bumiputera. Pengumuman tersebut dibuat Ketua Menteri Sabah YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang pertama bagi tahun 2018 di Kota Kinabalu hari ini. “Dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan pelbagai kementerian, agensi-agensi, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, institusi-institusi awam mahupun pihak swasta, pelbagai program dan inisiatif telah dan terus diperkenalkan untuk memperkasakan penglibatan Bumiputera terutamanya dalam sektor perniagaan,” kata Tan Sri Musa.

Dua dana khas baharu diumumkan Tan Sri Musa, iaitu RM100 juta bagi usahawan- usahawan Bumiputera Sabah memacu projek pelaburan swasta berasaskan pertanian dan agro-pelancongan, dan kemudahan pembiayaan dan jaminan kewangan berjumlah RM500 juta untuk kontraktor-kontraktor Bumiputera yang terlibat dengan membangunkan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

 

“Sebagai sebuah Negeri yang terkenal seluruh dunia dengan kekayaan alam semulajadinya, adalah menjadi harapan saya industri agro pelancongan Sabah akan menerajui dan menjadi “benchmark” atau penanda aras kepada pembangunan agro pelancongan Negara,” kata Tan Sri Musa.

 

Inisiatif ini merupakan satu kerjasama strategik di antara TERAJU dan Agrobank Berhad, dan dijangka membuka peluang-peluang perniagaan yang lebih besar kepada usahawan-usahawan Sabah untuk menceburi industri yang telah dikenalpasti berpotensi besar dan sedang rancak dibangunkan. Dana khas pembangunan Lebuhraya Pan Borneo manakala, dijangka membantu 50 syarikat kontraktor-kontraktor Bumiputera Kelas G1 higga G4 Bumiputera. Ianya disediakan oleh RHB Islamic Bank Berhad dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) untuk pembiayaan kontrak, manakala kemudahan khas jaminan pinjaman disediakan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP). “Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri peka kepada pelbagai cabaran yang dihadapi syarikat-syarikat pembinaan tempatan Bumiputera terutamanya dari segi memperolehi kemudahan pembiayaan dari institusi-institusi kewangan. Justeru itu, kemudahan ini dapat membantu meningkatkan kelayakan atau ‘bankability’ syarikat- syarikat ini untuk mendapatkan fasiliti pembiayaan dari institusi kewangan yang telah dikenalpasti,” kata Tan Sri Musa.

Sementara itu, dalam satu majlis penyerahan surat tawaran dan cek replika program di bawah inisiatif TERAJU, Tan Sri Musa juga menyampaikan Dana Mudahcara kepada lapan syarikat Bumiputera di Sabah yang telah menyiapkan projek mereka. Sembilan lagi syarikat turut menerima surat kelulusan bagi projek yang baharu sahaja diluluskan dan akan mula dibangunkan tidak lama lagi. Kesemua projek ini melibatkan kelulusan dana sebanyak RM38 juta dan merangkumi pelbagai pelaburan swasta dalam sektor pembangunan hartanah, pembinaan infrastruktur, tenaga & solar, pembuatan, pertanian, pembangunan berasaskan eco-tourism dan pelancongan. Secara keseluruhan, sejumlah RM169.96 juta di bawah program Dana Mudahcara telah diluluskan bagi 69 projek di Sabah.

Projek-projek ini telah berjaya menjana nilai pelaburan swasta sebanyak RM1.25 bilion. Setakat ini, sejumlah 65 syarikat Bumiputera Sabah telah berjaya mengembang serta meningkatkan kapasiti perniagaan mereka menerusi dana sokongan ini dan mewujudkan lebih dari 3 ribu peluang pekerjaan baru di Sabah yang turut menyokong usaha merancakkan pembangunan ekonomi Negeri. Seramai 38 usahawan Sabah juga menerima suntikan dana di antara RM50 ribu sehingga RM100 ribu setiap seorang untuk tujuan pengembangan perniagaan mereka, membeli peralatan mesin dan meluaskan premis perniagaan mereka di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB). Program ini adalah susulan kerjasama TERAJU dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di mana seramai 106 usahawan Bumiputera telah meraih manfaat dari inisiatif ini sejak ia diperkenalkan pada tahun 2015.

Sementara itu, lima usahawan Bumiputera Sabah turut menerima dana DPUB hasil kolaborasi di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang berjumlah keseluruhan RM500,000 untuk projek-projek menaiktaraf premis perniagaan mereka. Turut hadir pada majlis penyerahan surat tawaran dan cek replika adalah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun; Pembantu Menteri kepada Menteri Kewangan Sabah YB Datuk Ramlee Marahaban; Pembantu Menteri kepada Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah YB Datuk Bolkiah Ismail; Setiausaha Persekutuan Sabah Ybhg Datuk Nor Rizan Mohd Thani; dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Dato’ Husni Salleh.

Pada majlis tersebut, Tan Sri Musa turut menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian di antara TERAJU dan beberapa agensi Kerajaan Negeri yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti usahawan-usahawan Bumiputera Sabah. Perjanjian dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), melibatkan kerjasama dengan 4 badan NGO tempatan bagi program pensijilan dan akreditasi halal, pembangunan vendor untuk usahawan otomotif serta program pengukuhan sistem perakaunan. NGO-NGO yang terbabit adalah Dewan Perniagaan dan Industri Kadazan Duzun atau (KCCI); Persekutuan Industri Sabah (FSI); Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM- Sabah); dan Dewan Usahawan Bumiputera Sabah (DUBS).

Perjanjian kedua manakala, dimeterai dengan Yayasan Sabah bagi menaiktaraf Galeri Kraf melibatkan kos sejumlah RM2 juta dan apabila siap kelak bukan sahaha akan menjadi satu tarikan pelancongan tetapi mengetengahkan karya seni dan produk kraftangan tempatan. Melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), perjanjian turut dimeterai dengan Yayasan Sabah untuk menyediakan latihan dan bantuan khusus kepada syarikat dan usahawan Bumiputera yang sedang meningkat naik (scaling up). Bidang yang menjadi fokus latihan adalah inovasi produk, harta intelek, pembungkusan, penjenamaan dan kemahiran mengenai pasaran eksport.