MAFI, LKIM rangka kaedah pemasaran lambakan udang harimau dan ikan patin sangkar

MELAKA, 3 Sept -- Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MAFI) menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah merangka beberapa kaedah pemasaran jangka pendek bagi menangani isu lambakan bekalan udang harimau di Melaka dan ikan patin sangkar di Pahang. MAFI dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan LKIM telah mengadakan rundingan dengan kilang memproses udang di Johor Bahru iaitu A&O Food Industry untuk menjual udang harimau yang diternak di Melaka. “Kilang berkenaan bersetuju membeli sebanyak dua tan udang bagi setiap satu kali pengambilan secara berperingkat dan udang berkenaan akan disejuk beku untuk pasaran luar negeri manakala udang segar pula akan diimport ke Singapura. “Selain itu, usaha mencari ruang pasaran tempatan di Selangor dan Terengganu telah dilakukan dan mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada pembeli,” menurut kenyataan itu. MAFI menyatakan pemasaran secara terus melalui platform sedia ada seperti kerjasama yang dijalankan bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bagi pasaran dalam talian akan dipertingkatkan selain secara bayaran semasa penghantaran (COD) dan daripada peniaga runcit individu. Bagi menangani isu lambakan ikan patin pula, LKIM menyediakan saluran pemasaran menerusi 14 Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) Ikan Air Tawar di sekitar Pahang meliputi kawasan Pekan membabitkan tiga pusat, Kuantan (satu), Bera (tiga), Temerloh (lima), Lanchang (satu) dan Triang (satu). MAFI turut memaklumkan pembelian ikan patin juga akan dibuka kepada NEKMAT dan Persatuan Nelayan Kawasan melalui geran modal pusingan pemasaran ikan serta memudah cara padanan pasaran dengan menawarkan kepada mana-mana peniaga ikan dan usahawan pemprosesan seluruh negara untuk mendapatkan secara terus daripada penternak yang terjejas. “Langkah yang diambil ini dijangka dapat membantu mengatasi kerugian dan memberi kelegaan kepada penternak udang harimau di Melaka dan ikan patin sangkar di Pahang untuk memasarkan hasil pengeluaran mereka. “Mereka yang terjejas juga dinasihatkan menyusun semula jadual yang disesuaikan dengan situasi semasa bagi mengelakkan kerugian pada masa akan datang,” kata MAFI. MAFI turut menjelaskan pasaran dijangka kembali pulih sedikit masa lagi dengan pembukaan sektor yang menyumbang kepada permintaan seperti industri makanan dan minuman, hospitaliti, pemprosesan serta pasaran import dan eksport mengikut peringkat Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan apabila negara mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat. Isnin lepas, media melaporkan Melaka menanggung lambakan udang harimau seberat 15,000 kilogram bernilai RM450,000 selepas permintaan ke atas makanan laut itu susut mendadak. Dua hari kemudian, dilaporkan lebih 50,000 ikan patin yang diternak pengusaha di Sungai Jelai di Lipis, Pahang mungkin ‘berkubur’ dalam sungai berikutan tidak dapat dijual ekoran pandemik COVID-19. -- BERNAMA