Majlis Getah Malaysia sokong amalan mampan di Ekspo Dunia 2020 di Dubai

Oleh NURUNNASIHAH AHMAD RASHID KUALA LUMPUR, 3 Sept  -- Majlis Getah Malaysia (MRC) merancang untuk menyokong amalan mampan dalam rantaian nilai apabila menyertai Ekspo Dunia 2020 di Dubai dari 1 Okt, 2021 hingga 31 Mac, 2022.  Bertemakan ‘Energising Sustainability’, Pavilion Malaysia menyasarkan untuk meraih komitmen negara dalam memastikan masa depan yang selamat dan mampan dengan mengimbangi kemajuan sosio-ekonomi dengan isu alam sekitar, menurut MRC kepada Bernama dalam kenyataan. Katanya komoditi pertanian yang mampan, termasuk getah, akan dipaparkan secara kekal di pavilion serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) akan menerajui program perdagangan dan perniagaan selama dua minggu mengenai komoditi pertanian. “Pavilion Malaysia akan menganjurkan 26 program mingguan perniagaan dan perdagangan berdasarkan tema tertentu sepanjang ekspo itu untuk mempromosikan industri mampannya,” menurut MRC. Ketua Pegawai Eksekutif Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata kerajaan, melalui MRC, komited untuk bekerjasama dengan peserta industri untuk menghasilkan getah asli yang mampan, tumbuh dengan cara yang melindungi alam sekitar dan masyarakat selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap komoditi tersebut. “Lembaga Getah Malaysia telah membangunkan produk berasaskan getah asli seperti Seismic Bearing, pembinaan jalan berasaskan getah dan Ekoprena yang mesra alam, mampan dan mempunyai jejak karbon yang rendah. “Ekspo Dunia 2020 akan menjadi platform yang baik untuk mempromosikan produk getah berasaskan teknologi hijau ini kepada dunia,” katanya. MRC akan turut melancarkan Pameran Produk Getah Malaysia Secara Maya (MaRViS), platform dalam talian yang dipercayai dan memudahkan libat urus perniagaan dalam talian antara pembeli antarabangsa dan pengeluar produk getah Malaysia, memanfaatkan capaian ekspo itu yang besar, katanya. “Pada saat dunia sedang bergelut untuk menyesuaikan dengan banyak perubahan dalam perniagaan harian disebabkan pandemik COVID-19, platform ini diharap dapat menggalakkan penggiat industri untuk melaksanakan pendigitalan dalam urusan perniagaan mereka. “Platform maya ini dapat memberikan pengalaman dalam talian yang menyeluruh kepada pembeli antarabangsa dan ia akan mempunyai beberapa ciri menarik termasuk pameran maya, sembang langsung dan padanan perniagaan dalam talian,” kata Nurul Islam. Beliau juga berkata acara penting seperti e-Global Sourcing Mission (e-GSM) dan seminar dalam talian akan turut diadakan di platform MaRViS. Fasa pertama MaRViS akan dilaksanakan pada bulan ini, manakala pelancaran grand platform itu dijangka pada Januari 2022. Ia boleh diakses melalui laman web MRC di https://marvis.myrubbercouncil.com. -- BERNAMA