7,385 lesen vesel menangkap ikan dibatalkan dalam tempoh lima tahun

ALOR GAJAH, 4 Sept -- Sebanyak 7,385 daripada 56,211 lesen vesel menangkap ikan telah dibatalkan kerana tidak mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan, menerusi proses pemutihan yang dilakukan dalam tempoh lima tahun sejak 2015. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata antara faktor pembatalan lesen tersebut ialah nelayan tidak memperbaharui lesen mereka dalam tempoh yang lama, tidak aktif menangkap ikan dan memajak lesen kepada pihak lain. 'Kami menerima banyak permohonan untuk mendapatkan lesen tetapi penelitian yang ketat akan dibuat dari semasa ke semasa. 'Semakan akan dilakukan dengan persatuan nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ketua atau penghulu kampung bagi memastikan hanya yang layak sahaja mendapat lesen tersebut,' katanya kepada pemberita selepas Program MAFI Prihatin di Dewan Terbuka Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat, di sini hari ini. Pada program itu, sebanyak 260 kotak makanan berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung dan minyak masak, keseluruhan bernilai RM18,200 disumbangkan LKIM untuk nelayan di Parlimen Masjid Tanah.  Selain sumbangan kotak makanan berkenaan, MAFI menerusi Jabatan Perikanan turut menyerahkan lesen sampan khas dan bantuan Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan Akuakultur (SPeKs) kepada Nelayan Darat Negeri Melaka. Mengulas lanjut, Ahmad berkata pada tahun ini sebanyak 3,629 lesen vesel menangkap ikan baharu telah diluluskan dengan 295 lesen berkenaan melibatkan nelayan di Melaka.     Beliau berkata aktiviti perikanan nelayan terlibat akan dipantau untuk melihat prestasi mereka sekali gus menentukan sama ada layak menerima elaun sara hidup yang diberikan kerajaan atau sebaliknya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 100,000 ekor benih udang galah dilepaskan hari ini di Sungai Paya Lebar/Ramuan China dengan peruntukan sebanyak RM14,000. 'Bermula dari Januari lepas hingga hari ini, sebanyak 176,100 benih ikan dan 300,000 ekor benih udang dilepaskan di perairan tersebut  bagi manfaat penduduk setempat,' katanya. -- BERNAMA