148 banduan di penjara Kelantan terima latihan kemahiran berbayar

KOTA BHARU, 2 Sept -- Seramai 148 banduan di penjara negeri ini sedang menerima latihan kemahiran berbayar menerusi program 'Corporate Smart Internship' (CSI). Pengarah Penjara Kelantan Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata latihan itu diberikan kepada banduan kategori Orang Diparol (ODP) dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) membabitkan kemahiran pertanian, penternakan, perkilangan dan sebagainya. Beliau berkata latihan kemahiran yang diberikan menerusi syarikat-syarikat termasuk syarikat swasta itu sebagai peluang kedua bagi mereka memulakan kehidupan baharu melalui peluang pekerjaan apabila dibebaskan kelak. “Program ini juga dilihat memberi impak positif apabila kemasukan semula banduan yang terlibat ke penjara membabitkan kesalahan jenayah atau dadah adalah sangat kecil iaitu hanya 0.8 peratus berbanding peratusan kemasukan banduan yang tidak menyertai program ini iaitu sekitar tujuh hingga lapan peratus. “Malah, menerusi program ini juga sekurang-kurangnya banduan mempunyai duit poket sendiri selepas dibebaskan kelak hasil menyertai latihan yang disediakan iaitu dengan kadar bayaran minimum sebanyak RM1,200 bagi jajahan Kota Bharu dan RM1,100 untuk jajahan luar Kota Bharu,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Japanese Rock Melon dengan kerjasama Jabatan Penjara Kelantan dan Syarikat El Matta Sdn Bhd di Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Operasi Syarikat El Matta Sdn Bhd Bok Chee Kit. Mengulas lanjut mengenai projek tanaman itu, Mat berkata tanaman ‘Japanese Rock Melon’ yang mengeluarkan hasil tuaian pertama itu mencecah sebanyak 4,000 biji buah membabitkan 2,440 pokok di Penjara Pengkalan Chepa. Katanya, tanaman berkenaan diusahakan dengan kerjasama Syarikat El Matta Sdn Bhd sejak Mei tahun lepas yang diuruskan oleh 12 banduan ODP dan PBSL. “Ini merupakan kolaborasi julung kali diadakan antara pihak penjara dengan syarikat swasta dalam bidang pertanian dengan pihak syarikat memberikan latihan kepada banduan dan sekiranya mereka dibebaskan kelak mereka akan ditawarkan bekerja di syarikat berkenaan ataupun diberi pilihan untuk memilih kerjaya sendiri. “Selain bidang pertanian, Syarikat El Matta turut menjalankan urusan penternakan yang menggunakan tenaga kerja ODP dan PBSL dari penjara di negeri ini. Malah, kami juga turut merancang untuk mendapatkan sijil penyembelihan ternakan yang sah untuk mereka daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya. -- BERNAMA