Kerajaan Terengganu salur bantuan input pertanian kepada petani

JERTEH, 2 Sept  -- Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan input pertanian bernilai RM650,000 kepada 272 petani di negeri ini bagi meringankan beban mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Azman Ibrahim berkata daripada jumlah itu sebanyak RM300,000 disalurkan kepada 227  penanam cili manakala bakinya merupakan bantuan pam air kepada petani tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan singkat masa. “Bantuan kepada pengusaha cili diberikan untuk mengurangkan beban mereka ekoran kejatuhan harga pasaran cili kulai dan cili padi sepanjang Januari hingga Jun tahun ini. “Mereka menerima bantuan berupa benih, cocopeat (gambut kelapa), baja fertigasi dan baja foliar (baja daun) bernilai RM1,000 hingga RM2,000 seorang bergantung kepada bilangan polibeg,” katanya. Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas program penyerahan bantuan tersebut di Stadium Mini Kampung Raja di sini hari ini.  Dr Azman berkata jumlah keseluruhan kerugian dialami petani cili akibat kejatuhan harga pada enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak RM2.2 juta berdasarkan harga RM5 sekilogram ketika itu. “Bagaimanapun harga semasa cili kulai kini kembali meningkat antara RM10 hingga RM12 sekilogram bagi harga ladang,” katanya. Beliau berkata bantuan pam air kepada penanam tanaman singkat masa pula difokuskan kepada peserta yang aktif dan kerosakan pam air serta mereka yang tiada kemudahan pam air. “Program penyerahan bantuan ini bermula di Besut dan akan diteruskan ke daerah lain,” katanya.  -- BERNAMA