Idea kerjaya rakan beri tuah, raih untung jual 'timun baby'

KOTA BHARU, 3 Sept -- Enggan mengenang nasib sebagai penganggur empat tahun lepas, seorang pemuda kini telah mengubah hidupnya apabila menceburkan diri dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman ‘timun baby’ menggunakan kaedah fertigasi. Malah, Mohamad Zulfazli Mohamad Arifin, 28, juga tidak menyangka percubaan pertamanya menjadi seorang petani sayuran itu membuahkan hasil lumayan dengan meraih pendapatan sehingga mencecah lima angka, semusim atau setiap dua bulan. Beliau memulakan kerjaya bercucuk tanam kerana kecewa setelah pemohonan pekerjaan dan temu duga yang dihadirinya memberi maklum balas mendukacitakan selepas berhenti bekerja sebagai petugas logistik di sebuah syarikat di Singapura pada 2018.  'Saya terdetik untuk mula bercucuk tanam selepas melihat kejayaan seorang rakan sejak di bangku sekolah iaitu Mohd Fadir Fuzai, 28, yang berjaya meraih pendapatan mencecah belasan ribu ringgit bagi tempoh semusim menanam timun. “Berbekalkan modal wang simpanan sekitar RM15,000, saya mula memberanikan diri untuk menanam sebanyak 1,000 pokok timun baby secara fertigasi di atas tanah berkeluasan sekitar 0.3 hektar,” katanya ketika ditemui Bernama di kebun timun miliknya di Kampung Kubang Palas, Banggu di sini. Berkongsi cerita, Mohamad Zulfazli yang merupakan lulusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata pada permulaan mengusahakan tanaman timun baby, beliau berjaya meraih pulangan hasil jualan kira-kira RM20,000. 'Hasil tanaman timun berkenaan dijual pada harga RM2 hingga RM3 sekilogram bergantung kepada harga semasa dan ia dipasarkan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong. “Teruja dengan hasil pulangan yang diperoleh saya kemudian mempelbagaikan hasil tanaman termasuk petola, cili dan juga peria dengan mendapat rujukan daripada beberapa petani setempat selain turut mengikuti kursus pertanian daripada Jabatan Pertanian,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) itu. Anak kedua daripada enam beradik itu berkata hampir setiap hari beliau mampu mengutip sebanyak 400 kilogram (kg) timun yang dibantu seramai 10 pekerja terdiri daripada anak muda tempatan. “Alhamdulillah, sehingga kini usaha bercucuk tanam semakin berkembang dan sekarang saya mengusahakan tanaman sayur-sayuran membabitkan tanah berkeluasan lebih 2.2 hektar yang disewa penduduk sekitar dengan kadar sewaan sekitar RM300 hingga RM700 setahun,” katanya yang turut mengakui jualan tanamannya agak terjejas sejak kebelakangan ini, susulan penularan pandemik COVID-19. Bagaimanapun, beliau berkata ia tidak menjadi penghalang kepadanya kerana masih mampu memasarkan hasil tanaman berkenaan ke pasaran luar Kelantan iaitu di Pasar Selayang dan juga di Klang, Selangor, malah turut menghasilkan produk kudapan. “Selain itu, untuk mengelakkan berlaku lambakan juga, isteri saya Aina Fatini Md Rizan, 24, mengambil inisiatif menghasilkan sambal bilis dan peria goreng menggunakan hasil tanaman kami sendiri untuk dijual dengan harga RM10 hingga RM18. “Pada masa hadapan, saya juga merancang untuk membuat timun yang dijeruk bagi mengelakkan berlaku lambakan sekali gus dapat membuatkan ia bertahan dalam tempoh yang lama. Namun, ia perlu diteliti dan dirancang dengan baik terlebih dahulu,” katanya. -- BERNAMA