Risiko bencana kemanusiaan di Afghanistan berikutan Taliban kekurangan akses untuk dana - Pegawai EU

BRUSSELS, 2 Sept -- Situasi di Afghanistan boleh bertukar menjadi bencana kemanusiaan disebabkan Taliban tidak lagi mempunyai akses kepada dana daripada masyarakat antarabangsa, lapor Sputnik memetik seorang pegawai kanan Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (EEAS) pada Rabu. 'Situasi kemanusiaan sudah pun buruk di Afghanistan sebelum semua peristiwa ini berlaku. Ia berisiko menjadi bencana tidak lama lagi. “Kini akses kepada sumber kewangan, dana yang disediakan oleh masyarakat antarabangsa, yang meliputi 77 peratus belanjawan kerajaan Afghanistan, belanjawan awam, seratus peratus belanjawan  tentera, sudah tiada lagi,” kata Pengarah Urusan EEAS untuk Asia dan Pasifik Gunnar Wiegand dalam mesyuarat jawatankuasa hal ehwal luar Parlimen Eropah mengenai Afghanistan. Wiegand berkata simpanan bank pusat Afghanistan dan dana yang diberikan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa juga tidak tersedia. 'Ini akan sangat menjejaskan penduduk dan akan mempengaruhi kemampuan Taliban untuk mentadbir urus negara itu. Kita harus mencari cara untuk mengurangkan dan menghindari bencana kemanusiaan yang besar... kita perlu menangani krisis kemanusiaan di Afghanistan untuk mengelakkan krisis migrasi,' tambah pegawai kanan EEAS itu. Sebelumnya, seorang pegawai kanan EU yang lain, Raffaella Iodice, memberitahu mesyuarat yang sama bahawa kira-kira 18 juta orang, iaitu hampir separuh daripada populasi di negara Asia Tengah itu memerlukan bantuan kemanusiaan. Minggu lalu, Program Makanan Sedunia PBB memberi amaran bahawa bekalan makanannya di Afghanistan mungkin berakhir pada Oktober. Sementara Organisasi Makanan dan Pertanian agensi itu menyatakan kebimbangan bahawa musim sejuk yang akan datang bakal mengancam beratus ribu rakyat Afghanistan yang bergantung hidup pada pertanian jika bantuan segera kemanusiaan gagal tiba pada waktunya.  -- BERNAMA