Pengenalan

Pada sidang mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) Bil. 3/2011 pada 26 Ogos 2011, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pengwujudan satu Dana Mudahcara berjumlah RM2 bilion untuk kegunaan pelaksanaan projek sektor swasta oleh syarikat-syarikat Bumiputera yang berkelayakan. Dana ini diwujudkan sebagai “tipping point” sesuatu projek, di mana sokongan Dana Mudahcara dapat bertindak sebagai pemangkin untuk pelaburan strategik oleh syarikat-syarikat Bumiputera terutamanya dalam sektor-sektor Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang berimpak tinggi.

Pengumuman nilai kos projek minima yang lebih rendah bagi projek-projek yang berkelayakan di bawah sokongan Dana Mudahcara pada 6 Julai 2012 yang lalu, iaitu dari RM20 juta kepada RM5 juta, membuka peluang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang berkelayakan dalam memenuhi kriteria kelayakan Dana Mudahcara.

Skop baru tersebut adalah sejajar dengan inisiatif peruntukan sebanyak RM100 juta kepada setiap pusat satelit di lima wilayah ekonomi TERAJU@Koridor iaitu ECER, NCER, SEDIA, IRDA, dan Sarawak bagi tahun 2012 hingga 2013. Peruntukan tersebut dikhaskan untuk pengendalian projek-projek swasta di wilayah-wilayah koridor yang berpotensi untuk menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping dapat memacu pelaksanaan Agenda Ekonomi Bumiputera dengan lebih berkesan.

Dengan peruntukan di setiap koridor ekonomi dan nilai kelayakan projek minima yang lebih rendah, Kerajaan mengharapkan impak sosioekonomi terhadap projek-projek yang bertumpu di wilayah-wilayah ekonomi tersebut dapat diperhebatkan dengan wujudnya pemboleh (enabler) yang seterusnya dapat memanfaatkan lebih ramai usahawan-usahawan Bumiputera. Dalam usaha melancarkan pemprosesan Dana Mudahcara, Kerajaan telah bersetuju untuk memusatkan penilaian permohonan melalui jawatankuasa yang ditubuhkan di setiap koridor ekonomi.

 

**  Sehingga 1 Januari 2013, sebanyak RM 223.8 juta Dana Mudahcara telah diluluskan bagi 37 projek yang berkelayakan.

Hubungi Kami

Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Jabatan Perdana Menteri
5th Floor, Surian Tower, No. 1, Jalan PJU 7/3,
Mutiara Damansara, 47810,
Selangor Darul Ehsan

T +603 7839 8000 F +603 7839 8100
E info@teraju.gov.my

Pautan